nuffnang

Wednesday, December 12, 2012

Pekerjaan dinilai sebagai satu Ibadah

SETIAP pekerja perlu merasakan tugasan yang mereka setiap hari itu sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan sempurna.

Ia penting supaya gaji yang diterima setiap bulan halal, bersih dan mendapat keberkatan daripada Allah.
Pekerja yang amanah meletakkan syariat Islam sebagai pegangan utama supaya Allah sentiasa melindungi setiap rezeki yang mereka peroleh.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti” (Riwayat al-Baihaqi).

Kita perlu bijak, ikhlas dan jujur dalam menyelesaikan tuntutan kerja seharian di pejabat.

Dalam suasana kerja hari ini, ada sebilangan pekerja yang melakukan kerjanya dengan sambil lewa atau mencari jalan ‘mencuri tulang’ untuk melakukan penyelewengan.

Ia menggambarkan seseorang itu tidak ikhlas dan cuba berlaku khianat. Ingatlah setiap gerak-geri kita sentiasa diperhatikan Allah. Curi tulang boleh berlaku dengan cara mengabaikan tugas yang diberikan, melengahkan masa kerja atau tidak membuat langsung kerja dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Pasti wang gaji yang diterima pastinya tiada keberkatan. Oleh itu, kita perlu sentiasa memohon keampunan dari Allah sekiranya ketika menjalankan tugasan harian secara sedar atau tidak kita pernah mencuri masa dengan melakukan perkara di luar bidang tugas.

Pekerjaan sebenarnya dinilai sebagai ibadah apabila ia memenuhi syarat dan panduan yang ditentukan syariat. Di situlah letaknya keunikan Islam sebagai cara hidup.

Matlamat terakhir kenapa pekerjaan itu perlu dilaksanakan adalah bagi memperoleh keredaan dan keberkatan Allah. Tidak dinafikan setiap orang mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti bayaran gaji dan ganjaran terhadap kerja yang dilakukan.

Alhamdulillah, jika ada timbul perasaan bimbang mengenai halal atau haram, berkat atau tidak pendapatan yang diperoleh memberi petanda baik dalam diri kita masih ada iman.

Nabi memberi jaminan kebaikan buat mereka yang menjauhi syubhat dalam kata-katanya yang bermaksud: “Barang siapa yang menjauhi syubhat, selamatlah agamanya dan kehormatannya, barang siapa yang menyertai syubhat, ia seolah jatuh dalam yang haram” (Riwayat Muslim).

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata Islam menganjurkan umatnya berusaha mencari rezeki yang halal dengan kudrat sendiri.

“Umat Islam dilarang bergantung harap kepada Allah semata-mata tanpa berusaha memperoleh rezeki sendiri. Rasulullah pernah ditanya: “Pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.” (Hadis riwayat Ahmad).

“Setiap manusia sudah ditetapkan rezekinya oleh Allah. Mereka hanya perlu berikhtiar lebih sedikit bagi mendapatkan rezeki itu malah Islam melarang umatnya minta daripada orang lain.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu mengambil talinya (keluar mencari kayu), kemudian dia memikul seberkas kayu api di atas belakangnya, lalu dijualnya, maka dengan itu Allah memelihara air mukanya adalah lebih baik daripada ia meminta-minta daripada orang lain, sama ada diberi atau tidak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Dalam usaha mencari rezeki, kita tidak boleh lupa tatacara atau garis panduan yang ditetapkan. Antara perkara yang perlu dititik beratkan adalah soal halal atau haram pekerjaan yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata dalam Islam jika rezeki yang kita cari itu sumbernya halal maka kehidupan kita akan diberkati dan setiap usaha mencari rezeki itu bakal mendapat ganjaran pahala.

“Sebaliknya, jika rezeki yang kita cari itu datangnya dari sumber haram maka kehidupan kita jauh dari keberkatan Allah ditambah pula dengan dosa yang dipikul.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat adalah orang yang mencari harta secara tidak halal, lalu ia masuk ke neraka bersama hartanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Berbicara soal keberkatan, perkara yang perlu dijaga adalah bagaimana menjamin keberkatan dalam rezeki yang kita dapat. Terdapat sesetengah orang yang secara zahir, pekerjaannya halal, tetapi rezeki yang diperoleh tidak berkat.

“Antara sebabnya adalah terdapat perkara syubhah dalam urusan pekerjaan yang dilakukannya,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata fenomena negatif seperti ‘curi tulang’ ketika waktu bekerja perlu dijauhkan.

“Golongan ini lebih suka berbual kosong, melayari internet tanpa faedah, keluar makan pada waktu kerja dan menggunakan peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi.

“Ia perlu dielakkan dan berusaha dari sekarang untuk mengurangkannya. Sebab itu, ada di kalangan mereka yang gaji bulanannya mencecah puluhan ribu, namun kehidupannya masih serba kekurangan, keluarganya tidak harmoni dan dilanda pelbagai masalah.

“Itulah sebahagian tanda rezeki itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata masalah itu boleh diatasi sekiranya setiap pekerja berusaha mendapatkan kepuasan hasil kerja mereka sendiri.

“Tanamkan perasaan gembira apabila tugasan yang diberikan majikan berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dalam laporan Asean Conference on Civil Service Matters pada 1993 menyatakan pegawai (penjawat awam) perlu digalakkan bukan saja melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi perlu mendapatkan kepuasan peribadi selepas berjaya melaksanakan tugas yang diberi,” katanya.

Rasulullah pernah menyatakan bahawa Allah menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Menurutnya setiap pekerja Muslim perlu sedar mereka perlu berubah dan berusaha memperbaiki mutu serta prestasi kerjanya.

“Islam menyediakan ruang bagi menebus kesalahan yang dilakukan. Sebab itu kita ada zakat yang wajib dan sedekah yang sunat.

Inilah antara alternatif terbaik bagi menjamin rezeki kita diberkati Allah.

“Zakat dan sedekah itu pembersih kepada rezeki yang kita peroleh,” katanya.

Beliau berkata umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perkara yang nyata pengharamannya dalam Islam antaranya rasuah.

“Rasuah adalah sogokan wang atau sebarang hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat yang sudah, tengah atau bakal ditunaikan dengan cara salah.

“Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan bagi mengaburi mata orang ramai menghalalkan rasuah.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sudah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah pencuri.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

“Sebagai seorang pekerja Muslim, kita perlu bersyukur atas anugerah pekerjaan yang kita ada sekarang. Tidak salah berusaha meningkatkan taraf hidup dengan mencari pekerjaan yang lebih baik namun ia bukan penyebab untuk kita bersikap acuh tak acuh dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang.

“Setiap pekerja perlu berfikiran positif dan proaktif dalam menunaikan tanggungjawabnya. Apa saja perbuatan yang dilakukan, walaupun di luar pengetahuan majikan tetapi ia tidak sekali-kali berada di luar pengetahuan Allah,” katanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu di atas segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105).

Credit to: Harian Metro, 16/2/2012


No comments: