Bersikap positif di tempat kerja
PAKAR motivasi ada berkata, 'Anda tidak akan berjaya dan gembira dengan melakukan perkara yang anda sukai. Sebaliknya anda akan cemerlang dan berbahagia apabila anda menyukai perkara yang anda lakukan'.
Persoalannya, adakah sekarang ini anda melakukan pekerjaan yang anda suka atau memang suka melakukan pekerjaan anda ini?
Dua persoalan yang hampir sama ayatnya, cuma perbezaan kedudukannya akhirnya memberikan maksud yang amat ketara.
Bertuahlah jika anda sedang melakukan pekerjaan yang anda suka. Bersyukurlah jika anda suka dengan pekerjaan anda sekarang. Lebih beruntung jika anda sedang melakukan pekerjaan yang anda suka dan suka melakukannya.
Anda rugi jika anda melakukan pekerjaan yang anda suka tetapi anda tidak suka melakukannya. Bertambah rugi jika anda melakukan pekerjaan yang anda tidak suka dan tidak suka melakukannya.
Penting! Pekerjaan bukan semata-mata kerja dan dapat gaji. Kerja adalah amanah. Kerja juga bukan semata-mata cita-cita tetapi adalah satu tanggungjawab. Apabila anda menerima tawaran sesuatu pekerjaan bererti anda memegang amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan pekerjaan tersebut dengan sebaiknya.
Berikut ialah lima tip untuk kekal bermotivasi dalam melaksanakan pekerjaan anda:
1. Ikhlaskan niat bekerja
Tanyalah diri, kenapa aku bekerja? Mahu cari duit? Nak sara keluarga? Bosan duduk saja? Pelbagai alasan boleh diberikan. Cuma satu alasan yang betul dan tepat iaitu untuk melaksanakan amanah Allah. Pekerjaan anda sama ada sebagai guru, kerani, penoreh getah, buruh kasar atau apa juga pekerjaan yang halal di sisi syarak adalah termasuk dalam kategori ibadah. Jika anda niatkan ikhlas kerana melaksanakan amanah Allah, anda akan mendapat pahala dalam setiap apa juga tindakan yang anda lakukan ketika melaksanakan pekerjaan anda. Amanah Allah itu luas. Sebagai suami, anda berperanan untuk menyara keluarga. Sebagai anak, anda bertanggungjawab membantu ibu bapa. Hanya dengan bekerja, tuntutan tersebut boleh dilaksana. Lantas, perbetulkan niat dan rebutlah pahala daripada-Nya ketika bekerja.
2. Tanamkan minat dan suka bekerja
Tidak semua individu beruntung peroleh pekerjaan yang diidamkan. Kehendak semasa, mendorong individu memohon dan menerima pekerjaan yang tidak pernah diimpikan. Bersyukurlah sebab anda diberi peluang dengan menanam azam dan semangat dalam diri untuk menyayangi pekerjaan tersebut dan berusaha untuk berikan yang terbaik. Jika minda anda positif, hasilnya juga akan positif.
3. Anggap pekerjaan sebagai cabaran untuk diri
Pekerjaan bukan mainan, malah bukan juga bebanan. Jadikan pekerjaan anda sebagai satu medan untuk mencabar keupayaan diri. Mungkin ia bukan bidang anda tetapi bila anda diberi jawatan bererti anda diberi kepercayaan. Lantas, buktikan majikan anda tidak salah meletakkan kepercayaannya kepada anda.
4. Tekad untuk jadi lebih baik
Kalau Mat Jenin boleh berangan mahu jadi kaya dan lebih kaya, apakah anda hanya sekadar mahu kekal di takuk lama bertahun lamanya? Tekadkan azam, jalinkan semangat, sentiasa berusaha dan bertindak agar kedudukan anda bertambah baik dari hari ke hari, tahun ke tahun. Jadikan pekerjaan anda medan persaingan secara sihat agar hidup anda pada masa depan lebih baik.
5. Bertindak demi kecemerlangan
Apabila anda punya azam untuk lebih berjaya, susun strategi agar pekerjaan anda menjadi lebih baik dan mendapat pengiktirafan majikan. Bertindak dengan cara yang baik, dibenarkan syarak dan norma masyarakat.
Ingat! Matlamat tidak menghalalkan cara.
~Petikan dari: Akhbar Kosmo (20.1.11)
5 comments:
baguih ni,,,utk peringatan pd kita...
tips yg bagus...
keje..kejee... keje ngan ikhlas even hari2 men fb jer lebey~ hahhaa
salam akak...
tips yg bagus..
persoalan yg awal tu pun sesuatu utk difikirkan...
yuppp..motivasi tuh boleh menaikkan semangat kiter...
amin amin amin, semoga tercapai azam kak nur tahun ni ye:)
Post a Comment